Thursday 29 December 2011

bukak sekolah!!!

SATU...DUA...TIGA....EMPAT....

FINE!!! buka sekolah sudah~ ndk sangka cepat betul masa berlalu... walau apa pun... I'll gonna miss my friend yang pindah... jgn lupa sama kawan-kawan yang lain aa... ndk boleh 2... kadang-kadang ada salah dan silap yg aq lakukan.. tolong maafkn aq k... bukannya sengaja 2.. biasalah manusia kan..ndk trlepas dr membuat dosa.. Everyone is NOT PERFECT!!


Siapalah aku utnk mengucapkan kata 'selamat tinggal KAWAN'.. bubye.. hehe.. PMR is coming soon...jgn lalai dan cuai... truskan usaha utnk terus maju aa kawan2 satu batch!!!
kasih letopp results kita nnt.. insyaallah.... AMINN...








BERDOA....
BERTAWAKAL...
BERSABAR...
segalanya memerlukan penantian teman... ^_^



Kenapa kau harus berubah..??

Itu DULU..bukannya SEKARANG..
kadang-kadang sedih bila terkenang balik dgn kawan2 yg begitu MUDAH lupakn kita... but,pa blh bwt kn.. iits up to them mw bwt apa.. I can;t do anything... juz sit down and keep my lips close... fuhh!! tw ka aku RINDU dgn kau KAWAN!!! but why you have change suddenly..?? It was really unexpected... I'm FRUST with you... please don't make me like this.. urghhh!!



yah..aq tau la aq sepa la kn untk kau...tp, aq ndk sangka kau akn BERUBAH scpat ni....
tp,tolonglah KAWAN!! kau ndk faham ka perasaan seorang teman yang memerlukan kau?
apa makna selama ni kita berkawan kalau kita mcm ni..?? 


aku SAYANG kau
aku RINDU kau yg dulu
aku INGINKAN kau yg dulu
aku MAHUKAN kita luang kan masa sprt dulu...


Tapi...aku FAHAM... mmg susah untk ingat kmbali masa 2..
Walau apa2-apa pun... aq masih tetap SAYANG kn kau kawan...
jangan lupa aku ok...
JANGAN!!!
untk SELAMANYA....




Friday 23 December 2011

Wahai Muslimah

Bunga yang kembang dan cantik itu jarang yang wangi... Begitulah orang yang cantik jarang berbudi.."


Apabila si gadis dipuji dengan kata-kata, "Awak ni cantiklah", maka akan menguntumlah sekuntum senyuman dibibirnya dan berbungalah hatinya. Tersipu-sipulah ia. Ah... siapa yang tidak seronok bila dikatakan cantik dan lawa? Begitulah resam manusia, seronok bila dipuji kecewa bila dikeji.

Tetapi lain halnya bagi si mukmin yang merasa dirinya miskin dengan Tuhannya. Terasa kerdil tatkala berhadapan dengan pujian dan sanjungan manusia. Wanita yang cantik selalu ditimpa 'perasan' kerana sedar dirinya punya kelebihan. Kata orang, wanita cantik banyak mahunya. Diri rasa bangga, seisi dunia mahu digenggamnya. Kalau ia seorang gadis dirinya sanggup menjadi tukaran dengan wang yang beribu. Ada pula yang rela menjadi andartu. Hidup liar bak merpati, senang didekat dan ditangkap lari.

Jika ia seorang isteri yang sedar dan bangga dengan kecantikkannya maka suamilah yang menjadi mangsa. Si suami selalu melutut dan kalah dengan kehendak dan karenahnya. Lebih malang jika si suami pula suka akan kecantikan isterinya. Ia menyayangi isteri atas dasar kecantikannya. Jadilah suami laksana lembu yang dicucuk hidungnya. Ke mana diarah di situlah perginya, alangkah dayusnya dia. Si isteri yang cantik rupawan akan merajuk dan meragam seandai kemahuannya tidak tercapai, mengugut, merajuk hendak balik kampung atau minta cerai.

Alangkah indahnya jika si isteri tadi, kecantikannya digunakan untuk meniup semangat jihad ke lubuk hati mujahidin. Ketahuilah, keutamaan dan nilai diri seorang wanita sama ada cantik atau tidak adalah pada akhlaknya. Kalau ia seorang isteri, ketaatannya pada suami adalah akhlak yang indah. Wanita yang cantik tetapi tidak berbudi pekerti tinggi, lebih-lebih lagi isteri yang cantik yang derhaka pada suami adalah ibarat bunga raya. Cantik warnanya harumnya tiada. Sebaliknya wanita yang tidak cantik tetapi berakhlak mulia, taat suaminya, sentiasa mencari keredhaanNya, ibarat bunga cempaka. Tiada rupa tetapi harumnya memikat jiwa. Antara bunga raya dan bunga cempaka pastilah cempaka diminati orang. Kasihan si bunga raya, tidak dijual atau dipakai orang. Ibarat gadis murahan yang mempertontonkan kecantikan. Konon nanti ada yang berkenan tetapi tidak sedar diri jadi mainan. Wanita yang kurang cantik pula jika tidak berakhlak akan meyakitkan hati dan mata. Ibarat bunga yang tidak cantik tidak pula harum dan wangi. Maka tiadalah apa-apa tarikan dan keindahan padanya.

Usah bangga dan usah pula risau akan paras rupa untuk merebut kasih sayang manusia. Tetapi marilah berlumba-lumba untuk menjadi wanita yang bertaqwa dan berakhlak mulia. Nescaya disayangi Allah serta makhluk-makhlukNya. Seharusnya diri yang dikurniakan Allah dengan nikmat kecantikan sentiasa resah jiwanya. Bukan kerana takut luput kurniaan itu dari dirinya. Bukan jua kerana ada yang iri hati dan mahu menganiayai atau menandingi kejelitaannya. Resah adalah kerana menghitung-hitung pahala-pahala yang tinggal akibat pujian dan sanjungan manusia yang bakal menjerumuskan dirinya ke jurang neraka.

Mengira-ngira bagaimana untuk meruntuhkan gunung mazmumah akibat dari kecantikan diri yang dijulang bagaikan mahkota. Apa lagi jika kecantikan itu hidangan setiap insan, cantik indah tetapi hina terdedah. Menjadi mainan nafsu dan syaitan. Bersyukur dengan segala nikmat Tuhan. Baik buruk,cantik hodoh itu adalah pemberiNya. Yang berwajah cantik atau hodoh sama-sama perlukan persediaan. Akan tiba saatnya jua di mana yang berwajah cantik indah dikerumuni oleh cacing dan ditimbusi tanah di liang lahad yang gelap lagi sunyi. Tatkala itu bersandinglah manusia dengan kematian. Apakah baru di kala itu mahu diucapkan nikmat iman dan Islam itulah sebesar-besar pemberian Tuhan? Baru sanggup berjuang, berkorban apa saja demi mendapatkannya? Sebelum segala-galanya terlewat sama-samalah kita daki anak-anak tangga menuju ke puncak taubat.

Asal manusia dari setitis mani yang hina. Sehina itulah pula dirimu wahai wanita. Kenangilah nasib diri di hari penghisaban. Segala pinjaman Tuhan itu, untuk apa digunakan. Lunakkan hati, tenangkan perasaan. Lihatlah ke seluruh penjuru alam. Di mana saja mata menjurus di sana ada tanda keagungan Tuhan. Dongakkan kepala ke langit biru, tundukkan wajah ke bumi yang hijau. Saksikanlah kilauan mentari, percikan cahaya bulan dan bintang. Langit yang dijadikanNya tidak bertiang, gunung-ganang tidak berpancang. Usah terlena dibuai keindahan, sesungguhnya pada segalanya itu terkandung pengajaran:

"Dan apa sahaja nikmat yang ada padamu dari Allahlah datangnya, dan bila kamu ditimpa kemudaratan maka hanya padaNyalah kamu meminta pertolongan." An-Nahl:53.....


RENUNGILAH IA BUAT MU MUSLIMAH....




Thursday 22 December 2011

Menilai cinta seorang Jejaka


Jika anda seorang wanita, jangan sesekali terperangkap dengan mainan cinta seorang lelaki buaya. Anda perlu pandai untuk menentukan sama ada lelaki itu layak atau tidak menjadi pasangan anda dengan melakukan beberapa penilaian terhadap dirinya.

Adakah dia merenung anda seolah – olah hanya anda seorang sahaja wanita di dunia ini?

Lihat mata pasangan anda. Adakah dia selalu merenung tepat ke arah mata anda? Adakah ketika dia merenung mata anda, anda rasa seperti tersipu – sipu malu? Anda cuba untuk melawan renungannya tetapi anda kalah pada akhirnya. Jika ini terjadi cuba anda senyum padanya dan lihat bagaimana reaksi dia. Jika dia sayangkan anda, di saat ini anda boleh rasa sendiri di dalam hati anda.

Adakah dia selalu ingin berdua – duaan dengan anda?

Lelaki yang suka anda secara ikhlas selalu ingin berdua – dua dengan anda. Dia tidak akan lakukan sesuatu yang seksual tetapi dia cuba tunjukkan pada anda bahawa dia sesuai untuk anda. Dia akan cuba kagumkan anda dengan bermacam-macam cara. Sebagai wanita, anda perlu fokus bahawa lelaki perlu mengorat perempuan.

Berapa kali dia cuba call handphone anda?

Adakah anda bosan dengan panggilan darinya? Memang dia suka akan ada dengan ikhlas, sebab itulah dia sentiasa call anda untuk melepaskan rindu di dadanya. Dia tidak memaksa anda untuk keluar dengannya tetapi dia memujuk anda untuk keluar dengannya.

Berapa kali anda selalu terserempak dengan anda?

Untuk pengetahuan anda, jika anda selalu terserempak dengan seorang lelaki, ia bukanlah hanya kebetulan. Lelaki tersebut berusaha untuk mendekati anda. Dia mahu anda perasan akan kehadiran dirinya dalam hidup anda.

Adakah dia cuba untuk membuatkan anda rasa istimewa?

Dia akan cuba sedaya upaya untuk memastikan anda rasa istimewa. Contohnya dia akan cantikkan penampilan dirinya supaya anda selesa dengannya. Dia juga akan memuji anda dengan bersungguh – sungguh sehingga anda rasa sangat terhibur dengan pujian – pujian yang di hamburkan oleh dia.

Adakah dia selalu ambil berat akan anda?

Jika dia selalu ambil berat akan anda, perasaan dia terhadap anda sudah melebihi tahap sementara. Perasaan dia terhadap anda sudah kekal dan dia akan sentiasa memberi anda kata semangat. Dia tidak serius terhadap anda jika dia hanya ambil berat kadang – kadang atau tidak pernah kisah akan perasaan anda.

Adakah dia nampak gembira dan sentiasa membalas senyuman anda?

Bila anda keluar dengannya, anda boleh nampak kegembiraan di sinar matanya. Dia sentiasa senyum akan anda seolah – olah anda adalah seseorang yang sangat bermakna padanya.




Lelaki itu sebenarnya...

 
 
Andainya perempuan tahu...

Lelaki juga boleh menjadi seseorang yg begitu sensitif dan mengambil berat (prihatin).

Jika seseorang lelaki meminati wanita, wanita itu tak semestinya cantik. Cukup dgn budi bahasa dan kesopanan yg tinggi. Malah lelaki boleh menyukai wanita yg mempunyai banyak persamaan dengannya samada dari segi pemikiran atau minat. Oleh itu, banyak yg boleh dibualkan atau dikongsi bersama.

Kebanyakan masa, lelaki sebenarnya tidak mengetahui perasaan sebenar yg dirasakan oleh seorang wanita.

Lelaki boleh menerima penolakan dgn baik.

Lelaki cuba menonjolkan sikap kelakiannya utk menambat hati wanita...

Lelaki memang dilahirkan dgn perasaan yg kuat terhadap wanita..sebab itu mereka suka melihat wanita, menjeling wanita dan menonton Baywatch! Atau mencuci mata di tepi pantai atau swimming pool.

Kebanyakan lelaki resah bila berhadapan dgn situasi ingin mengajak wanita keluar kali pertama!

Lelaki cuba meniru gaya selebriti atau berlagak macho hanya kerana ingin memikat hati wanita.

Bila lelaki cakap.."Emm..tengoklah dulu"..itu seringkali bermaksud dia berkata tidak atau kurang setuju.

Bila lelaki cakap direct to the point dalam sesuatu hal, dia sebenarnya ingin bersikap jujur dan berterus-terang dan mengharapkan wanita memahami maksudnya.

Kebanyakan lelaki yg nampak 'desperate', datang dari sekolah all boys! (how true)

Adalah biasa lelaki cemburu terutamanya apabila perempuan asyik menyebut nama lelaki lain.

Lelaki tak boleh belajar kesemuanya pasal perempuan dari library atau buku semata2. Oleh itu mereka selalu keliru dengan sikap perempuan..dan tak faham kenapa perempuan bersikap begitu begini...(kalau dah tak tahu, find out lah yer...jgn asyik membebel ajer perempuan byk ragam lah, kuat merajuklah....kitorg kaum hawa ni pun tak fhm gak dgn perangai kaum adam)

Kadang2 lelaki perlu mengetahui lebih mendalam tentang bagaimana berhadapan dengan perempuan supaya hubungan dapat berjalan dgn lebih baik. (silalah praktikkan, jgn sekadar berkata2)

Betapa hebatnya lelaki itu bersikap romeo dan 'flirting' dengan ramai wanita..dia tetap hanya ada seorang teman wanita yg istimewa...yang lain hanya kawan..:) (boleh caya ke?)

Bila lelaki tertengok dada wanita dan wanita itu menyedari...maafkan saja. Kebanyakan lelaki tak sengaja....Mereka merasakan kejadian wanita itu begitu indah!

Bila sesuatu hubungan putus di tengah jalan, lelaki juga rasa bersedih..cuma dia tak menunjukkannya kesedihannya di depan orang (bukankah itu ego?)

Bila seorang perempuan meminati seorang lelaki, perempuan itu patut bagi hint! Mana tau lelaki itu juga menaruh minat. Senang usahanya nanti...

Adalah memalukan bagi lelaki jika tak berupaya menolong wanita. (SETUJU!!)

Kebanyakan lelaki cukup lemah dgn air mata perempuan. Mereka lebih tewas sekiranya air mata itu mengalir dari perempuan yg dikasihi. Sebab itu dikatakan air mata senjata perempuan.

Lelaki bukanlah sempurna 100%, walau bagaimanapun rupanya atau pandangan luarannya. Jadi, perempuan janganlah mengharapkan semua yg hebat dari lelaki! Mereka juga normal dan mempunyai kelemahan!


Wednesday 21 December 2011

Manusia dalam 5 ALAM



Segala puji bagi Allah S.W.T yang mana telah mencipta bumi dan langit, bumi itu pula berlapis, dan langit itu bertingkat walaupun kita tidak dapat lihat dengan mata kasar.. Begitu juga dengan manusia yang hidupnya itu akan melalui alam-alam, yang bermula dengan penciptaan datuk moyang kita Nabi Adam A.s hingga ke alam barzakh sebelum kita ke alam yang abadi iaitu kekal di Syurga.


Berapa alam yang manusia akan lalui sebenarnya?



Alam yang pertama

1. Alam yang kita lalui di sulbi ayah.
2. Kemudian berpindah ke dalam Rahim ibu.


“Dan ketika Tuhan kamu menjadikan keturunan Adam dari punggungnya, dan Tuhan mengambil kesaksian dari mereka dengan berkata: Bukankah Aku ini Tuhan kamu? Mereka berkata: Bahkan! Kami menjadi saksi, bahwa kamu nanti di Hari Kiamat tiada dapat mengatakan, bahwa kami ini lalai dari perkara itu”(Surah Al-A’raaf ayat 172)

Jelaslah di ayat ini, yang mana Allah S.W.T telah menyatakan kisah Hari Mitsaaq (hari perjanjian) yang mana kita zuriat Nabi Adam A.s telah pun berjanji untuk mengakui keesaan dan ketuhanan Allah S.W.T

Alam yang manusia akan telah pun lalui di alam yang mana masanya sejak Allah Ta’ala mencipta Adam A.s dan membekalkan zuriat di tulang punggungnya yang penuh keberkatan.

Alam yang kedua

Alam yang kita menjalani hidup di dunia.
Ibnul Jawzi telah membahagikan peringkat-peringkat umur itu kepada lima kategori:

1. Masa kanak-kanak: iaitu dari peringkat umur bayi hingga seseorang itu mencapai umur lima belas tahun.

2. Masa muda: iaitu dari peringkat umur lima belas tahun (15), hingga umur tiga puluh lima tahun (35).

3. Masa dewasa: iaitu dari peringkat umur 35 tahun, hingga 50 tahun.

4. Masa tua: iaitu dari peringkat umur 50 tahun hingga umur 70tahun.

5. Masa tua Bangka, iaitu dari peringkat umur 70 tahun hinggalah ke akhir umur yang dikurniakan Tuhan.

Mengapakah para Ulama telah membahagikan umur-umur manusia hingga sedemikan peringkat? Apa yang kita sebagai manusia -lebih lebih lagi umat Islam dapat mempelajari dari pembahagian ini?

Kerana di alam yang kedua inilah alam yang tidak kekal alam yang manusia diminta untuk beramal dan diuji, amalan kita di ambil kira dihisab, oleh itu, maka elok kita mengenal pasti peringkat mana yang harus kita mula mendidik dan anak-anak kita mula beramal. Bukan kah Nabi Muhammad S.A.W telah memesan umat Islam:

“Kedua kaki anak Adam itu akan tetap berdiri di hadapan Tuhannya pada Hari Kiamat, sehingga selesai ditanya tentang empat perkara”

1. Tentang umurnya, untuk apa dihabiskan.
2. Tentang masa mudanya, untuk apa dipergunakan.
3. Tentang hartanya, dari mana diperolehi dan untuk apa dibelanjakan.
4. Tentang ilmunya, apa yang sudah dibuat dengannya.


Alam yang ketiga

Di alam Barzakh, ketika kita di kubur.

Bermulanya dari masa manusia keluar dari dunia ini dengan menempuhi mati hinggalah ia dibangkitkan dari kubur.

Siksaan kubur

Siksaan Kubur adalah HAK iaitu benar, sepertimana Rasulullah s.a.w pernah berpesan. Dan beliau telah mengkhabar pada umatnya, “Kebanyakan siksa kubur disebabkan tiada memelihara diri dari kencing.”

Nabi juga berpesan supaya kita memohon pada Allah Ta’ala supaya dihindarkan dari siksaan kubur. Alam yang Allah S.W.T telah nyatakan dalam firmannya:

“Dan di hadapan mereka terdapat Barzakh, hinggalah ke hari mereka dibangkitkan.”(Al-Mu’minun: 100)

Di alam ini, walau jasad musnah kecuali para wali-wali Allah S.W.T ditelan bumi dek zaman, tetapi roh manusia itu kekal di alam Barzakh. Di alam yang mana manusia lalui antara alam Dunia dan alam Akhirat di masa antara dua tiupan.

Alam yang keempat

Di Padang Mahsyar

Bermulanya daripada kebangkitan manusia dari kuburnya untuk menerima pengadilan Tuhan, sehinggalah kepada masuknya ahli syurga ke syurga, dan masuknya ahli neraka ke dalam neraka.

“ Dan ditiupkanlah pada sangkakala, maka mereka pun bangun dari kubur masing-masing, lalu datang kepada Tuhan mereka dengan berbondong-bondong.”(Yassin:51)

Mizan (Amalan ditimbang)

Di alam ini, umat manusia akan melalui saat genting, mereka akan menuju ke padang Mahsyar supaya amalan mereka dihitung oleh Allah S.W.T, bahkan amalan mereka akan di timbang, sebagaimana firman Allah Taa’la:

“ Dan neraca pada hari itu tepat, maka barangsiapa yang berat timbangannya (kebaikan), niscayalah mereka itu menjadi orang-orangyang beruntung. Dan barang siapa yang ringan timbangannya, niscayalah mereka itu adalah orang-orang yang merugikan dirinya sendiri, disebabkan mereka tiada mempercayai keterangan-keterang an Kami.”(Al-A’raf:8-9)

Di titian Shirath

Setelah itu manusia akan melalui Shirath (jambatan), yang mana ianya dipasang di atas muka jahannam, seperti diriwayatkan, Shirath itu lebih tajam dari pedang dan lebih halus dari rambut, tatkala itu manusia akan melaluinya menurut kadar amalan masing-masing.

a. Ada yang umpama kilat ketika melintasi titian Shirath. Ada yang umpama angin. Ada yang seperti burung atau kuda.
b. Begitu juga ada yang merangkak dan ada yang dijilat api, dan yang ada terjerumus ke gaung nereka.


Di telaga Nabi Muhammad S.a.w (Haudh)

Setelah terlepas dari titian Shirath, tatkala itu umat manusia yang beriman akan menghampiri Haudh (telaga) Rasulullah S.a.w dan sekali teguk saja segala haus dan dahaga akan hilang. –Supaya Allah mengurniakan pada kita seteguk dari cawan Rasulullah S.a.w- Air dari Haudh itu lebih putih dari susu, lebih manis dari madu.

Pesanan Rasulullah S.a.w

“Siapa yang melepaskan dari seorang Muslim satu kesusahan dari kesusahan-kesusahan dunia, niscaya Allah akan melepaskan daripadanya satu kesusahan dari kesusahan-kesusahan Hari Kiamat. Siapa yang menutup rahsia (keburukan) seorang Muslim, niscaya Allah akan menutup rahsianya di dunia dan akhirat.”

Dan marilah kita hayati kata mutiara dari Rasulullah S.a.w sebagai pedoman untuk kita tempuhi alam yang keempat ini, dan kita mengharapkan Syafaat dari Baginda S.a.w disaat itu sepertimana kita mengharapkan Syafaat serta Wasilah. Beliau setiap kali kita membaca Doa azan, “Wahai Tuhanku yang mempunyai seruan yang sempurna ini dan sembahyang yang akan didirikan ini, berikanlah dengan limpahan kurniaMu kepada Muhammad Wasilah(kedudukan yang paling tinggi dalam syurga) dan keutamaan serta limpahkanlah kepadanya Maqam yang terpuji yang Engkau telah janjikan baginya.”

Alam yang Kelima

Di negeri Abadi (Syurga dan Neraka)

Di alam ini, adalah masa kemasukan ahli neraka dan kemasukan ahli syurga ke syuga buat selama-lamanya yang tiada hujung dan penghabisannya.

Bukankah Nabi Muhammad S.a.w diutuskan untuk membawa rahmat untuk alam-alam, namun begitu ada yang telah mengingkari risalah yang diutuskan oleh Allah S.w.t. Maka balasan buat oleh yang telah mendustakan Nabi dan tidak beriman, maka balasan mereka seperti tertera dalam Al-Quran:

“ Maka Aku memperingatkan kamu akan api yang bernyala. Tiada masuk ke dalamnya melainkan orang yang jahat. Yang mendustakan (kebenaran) dan yang membelakangkan.”(Al-Lail: 14-16)

Telah Allah ciptakan neraka itu dengan mempunyai tujuh pintu. Sebagaimanayang tersebut di dalam Al-Quran:
“Neraka itu mempunyai tujuh pintu, tiap-tiap pintu daripadanya ada bahagian yang sudah ditentukan."

Nama-nama pintu dan tingkat neraka:

1. Jahannam
2. Saqar
3.Lazha
4.Huthamah
5. Sa’iir
6.Jahim
7. Hawiyah

Semua lapisan neraka yang tujuh itu telah diasak dengan berbagai-bagai penyiksaan yang berat, hukuman yang dahsyat serta penghinaan yang terkeji. Kami memohon Allah Ta’ala, agar Dia melindungi kami sekalian dari siksaan api neraka dan melindungi datuk-nenek kita, kekasih-kekasih kita dan semua kaum Muslimin.

Syurga buat mukmin

Alam syurga yang mana telah dijanjikan buat orang-orang yang beriman dan bertaqwa. Bukankah Allah S.w.t telah mengkhabarkan kepada kita : “ Dan pimpinlah orang-orang yang bertaqwa (memenuhi kewajiban) ke dalam syurga berbondong-bondong, sehingga apabila mereka mendatanginya, dibukakan pintu-pintunya, dan penjaga-penjaganya berkata: Selamat sejahtera untuk kamu! Kamu telah melakukan yang baik, maka masuklah kamu ke dalamnya buat selama-lamanya.” (Az-Zumar:73)

Syurga yang mana Nabi Muhammad S.a.w penah bersabda: “ Berfirman Allah Ta’ala: Aku sediakan untuk hamba-hambaKu yang saleh sesuatu yang tiada pernah:

a. dilihat oleh mata.
b. didengar oleh telinga
c. tiada telintas di hati sesiapa pun.

Nikmat-nikmat di syurga:

Bayangkan, segala nikmat yang berlaku didunia ini, tiada bandingannya di Syurga, yang penuh dengan nikmat-nikmat yang hebat diantaranya:

1. Mereka ahli syurga: bersandar di atas permaidani yang sebelah dalamnya diperbuat dari sutera.
2. Ada gadis-gadis sopan santun, belum pernah disinggung oleh manusia dan jin, dan mereka itu bagaikan permata delima dan mutiara.
3. di syurga An-Naim: ada sofa yang bertatahkan emas dan batu permata.
4. Mereka tiada merasa pening kepala atau mabuk.
5. Bidadari-bidadari yang bemata bulat jelita.
6. Tiada matahari yang berhawa panas dan bulan yang berhawa dingin.
7. Air mata Salsabil.
8. Mereka memakai pakaian dari sutera halus.


Nikmat yang besar selepas masuk ke syurga:

Melihat Allah S.w.t

Syurga-syurga yang sediakan ini, ada lapan pintu, dan ianya berbeza dari satu yang lain dan antara satu darjat dengan darjat yang lain sama seperti antara langit dan bumi.Darjat yang paling tinggi ialah Syurga FIRDAUS yang mana diatas nya terletak Arasy Allah S.w.t dan orang-orang beriman tatkala itu dilimpahi berbilang-bilang nikmat, sehingga ditanya pada mereka: Apakah ada sesuatu yang lain yang kamu mahukan Aku tambahkan? Mereka menjawab:
a. bukankah Engkau telah memasukkan kami syurga
b. dan menyelamatkan kami dari api neraka?
Kemudian Hijab pun terangkat. Maka pada ketika itu, tiada sesuatu yang diberikan kepada kamu lebih utama daripada nikmat melihat kepada Wajah Tuhan Azzawajalla.

Tuesday 20 December 2011

Falsafah CINTA!!!







" Tuhan berikan kita dua kaki untuk berjalan, dua tangan untuk memegang, dua mata untuk melihat, tetapi mengapa Dia hanya menganugerahkan kita sekeping hati sahaja? ketahuilah kerana Tuhan telah memberikan sekeping lagi hati pada seseorang untuk kita mencarinya.Itulah CINTA. "



"Adakala Dia memberi sebelum sempat kita menadah tangan kerana Dia sangat mengerti keperluan hamba-Nya.Adakala Dia mengambil semula sebelum sempat kita bersedia kerana Dia ingin menguji hamba-hambaNya."

" Tuhan kita berpesan;Singkir jauh-jauh rasa ujub,riak,takabbur,hasad dengki kerana itu adalah racun dalam setiap amalan.Menghapuskan pahala, menambahkan dosa."

" Seorang guru yang jujur mestilah berniat agar anak muridnya lebih pintar daripadanya, manakala seorang anak murid yang jujur mesti mengakui kepintaran gurunya."

" Hidup beri kita beratus alasan untuk menangis, tapi percayalah Allah beri kita beribu kekuatan untuk tersenyum! "

"Cintailah kekasihmu sekadar sahaja.Siapa tahu nanti dia akan menjadi musuhmu.Dan bencilah musuhmu sekadar sahaja,siapa tahu nanti akan jadi kekasihmu."

Salahkah WANITA tak tahu MEMASAK..???




Kalau perempuan tidak boleh memasak, dikutuk dan disuruh belajar. Kalau lelaki tak boleh jadi imam kita kata okay saja. Jangan diperbesarkan nanti mereka terasa hati. "Apalah perempuan, tak pandai masak siapa nak kahwin dengan awak!" Begitulah kata rakan sejawat lelaki pada seorang anak dara, juga rakan sejawat kami. Maka jawaplah si gadis ayu itu yang dia tidak sempat belajar memasak sebab dari kecil tidak digalakkan keluarga sebaliknya di suruh menumpukan perhatian pada pelajaran saja. Setelah tinggal di asrama, peluang pulang ke rumah terhad dan tidak sempat turun ke dapur membantu ibunya.

''Habis sekarang kenapa tidak belajar?" Tanya sang lelaki lagi dengan penuh semangat. ''Sedang belajarlah ni tetapi selain sibuk dengan kerjaya saya juga sibuk belajar agama, jadi belajar memasak tetap tidak diutamakan!" Begitu jawab si gadis yang membuatkan lelaki tadi menggeleng-geleng kepala. Baginya tidak sempurna seorang wanita jika tidak tahu memasak. Wanita sepatutnya buat begitu juga.

Syarat utama menjadi suami mesti boleh menjadi imam. Walau ada yang kata, jika itu syaratnya bermakna makin ramai wanita yang hidup bujang seumur hidup. Lelaki meletakkan kebolehan wanita di dapur sebagai perkara utama dan ungkapan hendak memikat suami, perlu pikat seleranya sering diguna pakai. Tidak kiralah jika wanita itu berpelajaran atau berjawatan tinggi dan penyumbang utama kewangan dalam rumahtangganya. Sekarang bukan asing lagi gaji isteri lebih tinggi daripada suami. Namun kedudukan suami sebagai raja tidak pernah dilupa walau dia tidak mengambil inisiatif mempelajari ilmu menjadi imam. Ilmu bermain video game di komputer mereka rasa lebih perlu. Kalau tidak tahu memasak disuruh belajar dan sesudah belajar perlu handal. Jika handal bukan setakat masak untuk keluarga sendiri, kalau boleh perlu boleh memasak untuk tiga pasukan bola. Begitulah standard yang telah ditetapkan.

Bolehkah kita meletakkan undang-undang itu kepada lelaki juga? Kalau tidak pandai jadi imam, belajarlah. Mula-mula jadi imam kepada keluarga sendiri, sudah terror boleh mengimam satu taman perumahan juga. "Sibuk suruh kita handal memasak, mereka tu bolehkah jadi imam?" Dengus teman wanita yang lain. Betul juga. Berapa kerat lelaki yang menjadikan sembahyang jemaah di rumah bersama anak isteri sebagai agenda utama, selain keperluan memenuhi pelbagai seleranya? Maka bertanyalah wanita kini kepada beberapa lelaki tentang kebolehan yang satu ini. Ternyata ramai yang menjawab tidak confident menjadi imam sebab takut bacaan al-Fatihah tidak sempurna, salah tajwid atau pun dia merasakan isterinya lebih handal. Ada yang kata lebih elok dia dan isteri sembahyang sendiri-sendiri. Ada juga menjawab, rasa kelakar pula apabila dirinya yang rugged menjadi imam. Isu ini sepatutnya kita beratkan sepertimana masyarakat memberatkan wanita perlu pandai memasak jika mahu bersuami. Lelaki juga harus boleh menjadi imam supaya kewibawaan mereka sebagai ketua keluarga tidak goyah atau menjadi mangsa 'queen control'. Kalau tidak pandai, belajarlah sekarang. Jika wanita disuruh belajar, apa salahnya lelaki!


Sunday 18 December 2011

Malu bercinta kerana Allah..??


Dalam cinta itu ada madu. Dalam cinta juga ada racun. Dialah manis, dia jugalah hempedu. Hanya yang merasa saja yang mengetahui dan memahami akan rasa sebuah alam percintaan itu.

Pupuklah sifat malu dalam bercinta. Kalau anda sedang bercinta, perlu sentiasa ingat bahawa cinta yang hakiki adalah kepadaNya. Siapa dan apa yang sedang kita cintai ketika ini hanyalah berstatus pinjaman dan sementara. Tak kekal, kak, bang, dik.
“Terdapat 99 bahagian tarikan pada wanita berbanding lelaki, lalu Allah kurniakan ke atas mereka sifat malu.” (Hadis riwayat Baihaqi)
Betul, kat mana-mana pun kita boleh lihat. Ada wanita yang memang pemalu. Jalannya tunduk aje. Tak kurang itu, ada juga yang terlalu tidak ambil kisah. Aurat dan cara pemakaian langsung tidak pernah dititik beratkan. Yang penting, dilihat anggun. Selalu kan jumpa mereka yang macam ni?

Wanita ni bila berpakaiannya sopan, menutup aurat, akan dilihat manis. Akan dipuji akan kesantunannya. Pasti juga akan dikagumi oleh ramai orang.

Yang berpakaian menjolok mata dan seksi pula akan mudah untuk diberi perhatian oleh kaum lelaki. Biasanya macam ni. Mereka yang macam ini tidak sama sekali dikagumi oleh golongan lelaki, tetapi hanya bakal digodai oleh mereka sahaja.

Jadi, dalam alam percintaan ni dik, tanam dan semaikanlah perasaan malu sesama pasangan. Yang sudah berkahwin itu tak apa. Maksud saya ini adalah kepada anda yang masih belum berumah tangga. Yang belum halallah senang ceritanya. Jagalah batas-batas anda. Haram tetap haram. Dan halal juga tetap halal.

Kalau rasa dah banyak buat dosa selama ini, tak apa, dik. Allah itu Maha Pengampun. Minta maaf, bertaubatlah kepadaNya, insyaAllah Dia akan terima taubat kita.

Saya teringat suatu sabda baginda SAW yang bermaksud, “setiap manusia itu pasti melakukan kesilapan, dan sebaik-baik mereka adalah yang melakukan taubat.”

Semoga ikatan cinta, tautan kasih, tali perhubungan yang dibaja itu menjadi jambatan untuk kita mendekatkan diri kepada Maha Pencipta.

Selamat bercinta!



Maafkan aku wahai suami




Terimalah MAAFKAN AKU WAHAI SUAMI...

Dua bilah kayu disatukan dengan paku. Dua ketul bata disatukan dengan simen. Dua hati di satukan dengan apa? Jawabnya, dengan iman. Dua hati yang beriman akan mudah disatukan. Jika dua hati mengingati yang SATU, pasti mudah keduanya bersatu. Begitulah dua hati suami dan isteri, akan mudah bersatu bila iman di dalam diri masing-masing sentiasa disuburkan.

Bukan tidak pernah terguris. Bukan tidak pernah bertelagah. Tetapi jika di hati sama-sama masih ada ALLAH, perdamaian akan mudah menjelma semula. Yang bersalah mudah meminta maaf. Yang benar mudah memberi maaf. Tidak ada dendam memanjang. Masam cuma sebentar. Pahit hanya sedikit. Itulah yang ditunjuk oleh teladan rumah tangga Rasulullah s.a.w. Ada ribut… tetapi sekadar di dalam cawan. Ada gelombang… tetapi cepat-cepat menjadi tenang.

Jika ditanyakan kepada dua hati yang bercinta, siapakah yang lebih cinta pasangannya? Maka jawabnya, siapa yang lebih cintakan Allah, dialah yang lebih cintakan pasangannya. Justeru, janganlah hendaknya hanya berfikir bagaimana hendak mengekalkan cinta antara kita berdua, tetapi berusahalah terlebih dahulu agar mencintai kepada yang Esa. Jika kita bersama cintakan yang Maha Kekal, pasti cinta kita akan berkekalan.

Jika paku boleh berkarat, simen boleh retak, maka begitulah iman, boleh menaik dan menurun. Iman itu ada “virusnya”. Virus iman ialah ego (takbur). Jangan ada takbur, cinta pasti hancur. Orang takbur merasa dirinya lebih mulia, pasangannya lebih hina. Jika demikian, manakah ada cinta? Cinta itu ibarat dua tangan yang saling bersentuhan. Tidak ada tangan yang lebih bersih. Dengan bersentuhan, keduanya saling membersihkan. Tetapi ‘tangan’ yang ego, tidak mahu bersentuhan… Konon takut dikotorkan oleh tangan yang lain!

Bila berbeza pandangan, pandangannya sahaja yang benar. Kau isteri, aku suami. Aku ketua, kau pengikut. Aku putuskan, kau ikut saja. Jangan cuba menentang. Menentang ertinya dayus. Maka terkapa-kapalah sang isteri tanpa boleh bersuara lagi. Sedikit cakap, sudah dibentak. Senyap-senyap, isteri menyimpan dendam. Suami ‘disabotaj’nya dalam diam. Tegur suami, dijawabnya acuh tak acuh. Senyumnya jadi tawar dan hambar. Perlahan-lahan, jarak hati semakin jauh. Cinta semakin rapuh.

Ada pula isteri yang ego. Heroin sudah mengaku hero. Suami dicaturnya satu-satu. Tidak jarang meninggikan suara. Silap suami yang sedikit didera dengan rajuknya yang panjang. Anak-anak dibiarkan. Dapur berselerak. Pinggan mangkuk tidak dibasuh. Kain baju sengaja disepah-sepahkan. Rasakan akibat menentang aku. Mengaku salah tidak sekali. Minta maaf? Pantang sekali!

Ego sisuami selalunya terserlah. Boleh dilihat daripada jegilan mata dan suara yang meninggi. Mungkin pintu dihempaskan dengan kuat atau hon kereta ditekan bertalu-talu. Atau boleh jadi diherdik siisteri di hadapan anak-anak atau isteri diperleceh di hadapan saudara mara atau tetamu yang datang. Bila ramai yang datang bertandang itulah masa sisuami yang ego ini menunjukkan kuasa dan belangnya.

Ego siisteri terpendam. Mungkin kerana tidak ada dominasi kuasa atau keberanian, siisteri menunjukkan egonya dengan bermacam-macam-macam ragam. Daripada sengaja melaga-lagakan pinggan yang dibasuh… sehinggalah memalingkan badan dan muka ketika di tempat tidur.

Alhasil, cuaca rumah tangga menjadi muram. Rumah hanya jadi ‘house’ tidak jadi ‘home’ lagi. Tidak ada keceriaan, kehidupan dan kemanisannya lagi. Semuanya bungkam. Ya, rumah (house) dibina dengan batu, kayu dan konkrit, manakala rumah tangga (home) dibina dengan kasih sayang, cinta dan sikap saling menghormati. Tidak ada rindu yang menanti suami ketika pulang dari bekerja. Tidak ada kasih yang hendak dicurahkan oleh suami kepada isteri yang menanti di rumah. Anak-anak jadi kehairanan? Apa sudah jadi pada kedua ibu-bapa ku?

Bila ada ego di hati, cinta akan menjauh pergi. Retak akan menjadi belah. Kekadang hati keduanya merintih, mengapa jadi begini? Bukankah antara aku dan dia ada cinta? Mengapa terasa semakin jarak? Apakah yang perlu aku dan dia lakukan untuk menyemarakkan semula rasa cinta. Lalu akal berfikir, berputar-putar mencari idea. Oh, mari ulangi musim bulan madu yang lalu. Kita susuri pulau, tasik, laut atau lokasi pertemuan kita nan dulu.

Malang, cuma sebentar. Gurau, senda cuma seketika. Tidak mampu lagi memutar jarum kenangan lama dengan hati yang telah berbeza. Tidak ada lagi tarikan fizikal yang ketara. Cumbu berbaur ghairah seakan telah terlupa. Bulan madu yang cuba diperbaharui tidak menjadi… kedua hati bercakar lagi. Mereka cuba memperbaharui lokasi, tanpa memperbaharui hati. Selagi ada ego, ke mana pun tidak akan menjadi. Jika ada ego, yang wangi jadi busuk, yang manis jadi tawar, yang indah jadi hambar.

Ada juga pasangan yang hendak ‘membeli’ cinta. Ingin dibangkitkan kembali rasa cinta dengan mata benda. Nah, ini kalung emas ribuan ringgit sebagai tanda cinta ku masih pada mu, kata suami. Dan ini pula cincin berlian untuk memperbaharui kemesraan kita, balas siisteri. Masing-masing bertukar hadiah. Semoga dengan barang-barang berharga itu akan kembalilah cinta. Namun sayang sekali, sinar emas, cahaya berlian, tidak juga menggamit datangnya cinta. Cinta diundang oleh nur yang ada di hati. Nur itu tidak akan ada selagi ego masih ada di jiwa.

Susurilah cinta yang hilang di jalan iman. Buanglah kerikil ego yang menghalang. Ego hanya membina tembok pemisah di antara dua hati walaupun fizikal masih hidup sebumbung. Mungkin di khalayak ramai, masih tersenyum dan mampu ‘menyamar’ sebagai pasangan yang ideal tetapi hati masing-masing TST (tahu sama tahu) yang kemesraan sudah tiada lagi.

Pasangan yang begitu, boleh menipu orang lain. Namun, mampukah mereka menipu diri sendiri? Yang retak akhirnya terbelah. Penceraian berlaku. Mereka berpisah. Masyarakat yang melihat dari jauh pelik, mengapa begitu mesra tiba-tiba berpisah? Tidak ada kilat, tidak ada guruh, tiba-tiba ribut melanda. Oh, mereka tertipu. Perpaduan yang mereka lihat selama ini hanyalah lakonan. Allah membongkar rahsia ini menerusi firman-Nya:
“Kamu lihat sahaja mereka bersatu tetapi hati mereka berpecah.”

Carilah di mana Allah di dalam rumah tangga mu. Apakah Allah masih dibesarkan dalam solat yang kau dirikan bersama ahli keluarga mu? Apakah sudah lama rumah mu menjadi pusara akibat kegersangan zikir dan bacaan Al Quran? Apakah sudah luput majlis tazkirah dan tarbiah yang menjadi tonggak dalam rumah tangga? Di mana pesan-pesan iman dan wasiat taqwa yang menjadi penawar ujian kebosanan, kejemuan dan keletihan menongkah arus ujian?
Penyakit ego menimpa apabila hati sudah tidak terasa lagi kebesaran Allah. Orang yang ego hanya melihat kebesaran dirinya lalu memandang hina pasangannya. Hati yang ego itu mesti dibasuh kembali dengan rasa bertauhid menerusi ibadah-ibadah khusus – solat, membaca Al Quran, berzikir, bersedekah – dan paling penting majlis ilmu jangan diabaikan.

Firman Allah:
“Dan berilah peringatan. Sesungguhnya peringatan itu memberi manfaat kepada orang mukmin.”
Sedangkan orang mukmin pun perlu diperingatkan, apatah lagi kita yang belum mukmin? Iman itu seperti mana yang dimaksudkan hadis, boleh menambah dan mengurang. Untuk memastikan ia sentiasa bertahan malah bertambah, hati perlu berterusan bermujahadah. Lawan hawa nafsu yang mengajak kepada ketakburan dengan mengingatkan bahawa Allah benci kepada orang yang takbur walaupun sasaran takbur itu suami atau isteri sendiri.

Bila terasa bersalah, jangan malu mengaku salah. Segeranya mengakuinya dan hulurkan kata meminta maaf. Ular yang menyusur akar tidak akan hilang bisanya. Begitulah suami yang meminta maaf kepada isterinya. Dia tidak akan hilang kewibawaannya bahkan bertambah tinggi. Bukankah orang yang merendahkan diri akan ditinggikan Allah derjat dan martabatnya? Justeru, lunturkan ego diri dengan membiasakan diri meminta maaf. Tidak kira ketika kita rasa kita benar, lebih-lebih lagi apabila terasa kita yang bersalah.

Namun, lelaki yang tewas ialah lelaki yang sukar mengaku salah. Dia sentiasa tidak ingin mengalah. Pada ketika itu dia telah memiliki salah satu dari tiga ciri takbur yakni menolak kebenaran. Akuilah kebenaran walaupun kebenaran itu berada di pihak isteri. Tunduk kepada kebenaran ertinya tunduk kepada Allah. Jangan bimbang takut-takut dikatakan orang takutkan isteri. Kita takutkan Allah. Allah benci orang yang takbur.

Begitu juga isteri. Jika sudah terbukti salah, akui sahajalah. Dalam pertelagahan antara suami dan isteri, apakah penting siapa yang menang, siapa yang kalah? Kita berada di dalam gelanggang rumah tangga bukan berada di ruang mahkamah. Kesalahan suami adalah kesalahan kita juga dan begitulah sebaliknya. Rumah tangga wadah untuk berkongsi segala. Perkahwinan satu perkongsian, bukan satu persaingan. Kalau kita menang pun apa gunanya? Padahal, kita akan terus hidup bersama, tidur sebantal, berteduh di bawah bumbung yang sama.

Mujahadahlah sekuat-kuatnya menentang ego. Bisikan selalu di hati, Allah cintakan orang yang merendah diri. Allah benci orang yang tinggi diri. Pandanglah pasangan kita sebagai sahabat yang paling rapat. Kita dan dia hakikatnya satu. Ya, hati kita masih dua, tetapi dengan iman ia menjadi satu. Bukan satu dari segi bilangannya, tetapi satu dari segi rasa. Sebab itu sering diungkapkan, antara makhluk dengan makhluk mesti ada Khalik yang menyatukan. Ingat, hanya dengan iman, takbur akan luntur, cinta akan subur!

MAAFKANKU WAHAI SUAMI..
Kadang-kadang aku rasa akulah
Isteri yang terlalu banyak menerima
Sedangkan engkau tak pernah meminta

Kadang-kadang aku rasa
Akulah isteri yang baru terjaga
Sedangkan engkau tak pernah terlena

Kadang-kadang ku bersuara tanpa berfikir
semua perkataan ku menjadi salah
Datanglah ke sini dan pegang tangan ku
Sementara ku cerita kehidupan isteri
Harap dimengerti

Kadang-kadang ku sakiti hati mu
Bila ku tolak sentuhan mu
Bukan bermaksud aku kurang menyayangi mu…
Namun cabaran terlalu

Kadang-kadang aku berubah pada pandangan mu
Tapi sayang, itu tidak benar
Tiada apa yang paling ku hargai
Daripada kehidupan manis bersama mu

Kadang-kadang ku fikir sejuta tahun
Adalah terlalu singkat
Hanya ku beritahu mu betapa sayangnya aku
Betapa syukurnya aku…
kau pelindung ku

Kadang-kadang berjauhan dengan mu
Akulah isteri yang terlalu tinggi bercita-cita…
Mencipta kerukunan keluarga
Namun aku tetap aku yang ini…
Maafkan aku wahai suami!


Sekarang adalah saat yang membahagiakan



Kebanyakan kita sering melihat orang lain lebih bahagia daripada kita. Padahal orang lainpun merasakan perasaan yang sama terhadap kita. Kita dianggap oleh orang lain mempunyai nasib yang lebih baik daripadanya. Dan kita menganggap orang lain mempunyai nasib yang lebih baik daripada kita.

Kita sering melihat diri kita banyak kekurangan dan melihat orang lain mempunyai banyak kelebihan. Begitu juga sebaliknya. Jadi siapakah sebenarnya yang lebih bernasib baik jika setiap orang berperasaan demikian?
Setiap orang merasa dirinya banyak kekurangan akhirnya merasa minder, rendah diri dan sedih. Orang lain yang disangka lebih bahagia juga ternyata sama keadaannya.

KUNCINYA adalah rasa syukur setiap saat. Janganlah kita mencari-cari kekurangan yang ada pada diri sehingga terlupa pada apa yang ada pada diri ini. Fokuskan kepada apa yang anda miliki dan manfaatkan sepenuhnya dengan penuh kesyukuran kepada Allah yang telah memberikan apa saja yang ada pada diri dan apa yang anda miliki. Apa yang anda miliki itu walau seakan-akan kecil dan tak bererti, namun sebenarnya di mata orang lain apa yang anda miliki adalah besar.

Jangan lupa bersyukur setiap saat. Sekaranglah saat yang paling tepat untuk anda merasakan kebahagiaan dan kesyukuran. Tidak perlu menunggu-nunggu waktu untuk berbahagia dan bersyukur.

Sesungguhnya jika anda memiliki seluruh tanah yang ada di bumi ini dengan segala isinya, anda akan masih merasakan kurang banyak.

Selamat berbahagia dengan apa yang anda miliki saat ini.



Friday 16 December 2011

Tujuh perempuan bertanya,seorang lelaki menjawab...

Kaum feminin cakap “susah jadi wanita”, mereka telah digoda dan diperdaya oleh syaitan dan hawa nafsunya sendiri, seperti yang kita lihat dialog dibawah, bagaikan mempersoalkan ketentuan Allah terhadap mereka. Dengan kata lain yang agak kasar, Allah berat sebelah pada kaum wanita.


Keluhan remaja perempuan A:
“Aduh, situ tutup, sini tutup. Susah la gini. Apasal laki-laki mudah saja. Tak pakai baju pun takpe. Perempuan auratnya lagi banyak.”


Keluhan isteri A:
“Kenapa la kita para isteri ni nak keluar kena minta izin dari suami kita, padahal suami kita nak keluar kemana-mana pun tak bagitau kita takpe pulak.”


Keluhan remaja perempuan B: 
“Jika kita ikut faraid dalam hal pusaka, rugilah kita. Sebab bahagian harta pusaka perempuan lagi sedikit berbanding harta yang anak lelaki dapat. Kami mahu keadilan!”


Keluhan isteri B:
“Kenapa Allah jadikan wanita mengandung dan rasa sakitnya nak melahirkan anak. Suami kita rileks saja? Masa buat anak carilah kita, masa nak beranak kita tanggung sendiri!”


Keluhan isteri C:
“Islam kata kita perempuan wajib taat pada suami, tapi ada Islam cakap suami perlu taat pada isterinya? Mana keadilan pada kaum hawa?”


Keluhan isteri D:
“Bila nak cerai je, suami yang boleh jatuhkan talak. Kenapa isteri tak bolek ceraikan suaminya? Kenapa?”


Keluhan remaja perempuan C:
“Wanita takleh nak beribadat macam lelaki, sebab bila kita ada haid dan nifas, takleh nak solat dan puasa. Ingat perempuan ni suka ke tak solat dan puasa?”.


Dan kemudian datanglah pertubuhan dan organisasi yang membela kaum wanita, dan menuntut hak samarata antara gender, mengekploitasi fahaman wanita yang terjejas akidahnya dek kerana disogok pertanyaan. Kaum lelaki pula cakap, “Ah, mujur aku ni lelaki!”


Tunggu..! Istigfarlah pada wanita yang ada perasaan seperti di atas. Mujur ada seorang lelaki yang bukanlah seorang ustaz namun amat yakin bahawa Allah itu Maha Adil. Dia tidak mampu menuturkan sabda Rasulullah s.a.w dan petikan dari ayat Al-Quran, namun dengan keimanan dan ilmu sedikit yang dia ada ,diolah sebaiknya untuk menjawab soalan-soalan melampau itu.


Lelaki beriman menjawab keluhan remaja perempuan A:


“Cik adik, Islam lah yang mengangkat aurat wanita. Benda yang mahal harganya akan dijaga dan dibelai serta disimpan ditempat yang teraman dan terbaik. Awak ada emas dan permata, adakah awak nak letak terdedah ditepi laluan lalu lalang atau disimpan dirumah agar tiada siapa melihat perhiasan itu? Ok, jika awak letakkan perhiasan tadi dikalangan orang, agaknya apa akan jadi dengan barang perhiasan tadi? Lelaki, yang utama hanyalah bawah pusat ke lutut tapi awak? Saya tidak dapat melihat kulit anda pun kecuali muka dan tangan! Awak tak mungkin akan terangsang nafsu tengok saya hanya berseluar pendek ke lutut kan? Tapi kalau sebaliknya, jangankan saya, tapi tok imam pun akan tercabut serbannya jika tengok awak pakai hanya seluar pendek!”


Lelaki beriman menjawab keluhan isteri A:
“Ok, isteri perlu taat pada suami. Jadi, lelaki apa? Suami perlu wajib taat juga kepada ibunya tiga kali lebih utama dari ayahnya, walaupun dia sudah berkeluarga. Isteri tidak perlu lagi, taatnya hanya pada suami. Kenapa awak perlu taat pada suami? Kerana suami kalian lah yang menanggung dosa yang kalian lakukan!”


Lelaki beriman menjawab keluhan remaja perempuan B:


“Betul ke wanita menerima warisan pusaka lagi sedikit daripada lelaki? Tapi kan, harta itu memang hak untuk wanita itu dan dia berhak lakukan apa saja yang dia mahu. Shh.. jangan kongsi dengan sape-sape walaupun suami. Tak kesian pada lelaki ke, dia perlu membahagikan harta pusaka itu kepada isteri dan anak-anaknya. Kalau isteri dia ramai, anak dia ramai, harta pulak secebis, tak merasa lah jawabnya!”


Lelaki beriman menjawab Keluhan isteri B:


“Tahniah la sebab awak dapat mengandung dan melahirkan. Setiap kali awak begitu, wanita itu didoakan oleh sekalian makhluk dan malaikat! Beruntungnya awak! Andaikan awak meninggal pula masa beranak tu, percayalah… itu mati syahid dan ganjarannya syurga. Ya, syurga menanti awak malah beranak 15 kali pun sihat sampai ke tua! Sebab tu tak ramai orang wanita meninggal masa melahirkan !”


Lelaki beriman menjawab Keluhan isteri C:


“Akhirat nanti, saya dan lelaki lain didunia ini akan diminta bertanggungjawab keatas empat jenis wanita. Siapa? Mereka ialah isteri saya, ibu saya, anak perempuan saya dan adik perempuan saya. Tahu maksudnya? Awak nanti di akhirat, awak akan dibantu oleh empat lelaki! Siapa mereka? Mereka ialah suami, ayah, adik atau abang malah anak lelaki awak!”


Lelaki beriman menjawab Keluhan remaja perempuan C:


“Nak beribadat macam lelaki? Ingat mudah ke nak dapat syurga? Sedarlah, awak sebagai wanita boleh masuk sebarang pintu syurga yang awak sukai. Ya, dah la syurga, ada pilihan pula hanya dengan empat cara. Apa itu? Solat lima waktu, berpuasa bulan Ramadhan, menjaga kehormatan dan tahu apa satu lagi? Taat pada suami awak. Itu saja asasnya!”


Lelaki beriman menjawab Keluhan isteri D:


“Saya, seorang lelaki wajib berjihad fisabilillah. Awak, seorang wanita jika taat akan suaminya,dan menunaikan tanggungjawabnya kepada Allah, maka awak akan turut menerima pahala setara seperti pahala orang pergi berjihad fisabilillah tanpa perlu mengangkat senjata!”


Lelaki beriman bertanya:


“Sebenarnya, apa lagi yang awak mahu, wahai kaum hawa?”


Namun, wanita-wanita tadi menangis dan salah seorangnya berkata;
“MasyaAllah, sayangnya Allah pada wanita, namun kami sendiri yang mengheret diri ke neraka yang mana ramainya kaum kami berbanding kaum lelaki!”


Demikianlah dialog wanita-wanita yang curiga itu dengan seorang lelaki biasa namun beriman. 


Musuh Islam tidak akan berhenti melakukan segala upaya, sampai kita ikut dan tunduk kepada cara-cara dan peraturan yang dipromosikan dan diperjuangkan mereka.


Allah, yang menciptakan kita, maka sudah pasti Dia yang Maha Tahu pada manusia, sehingga segala hukumNya malah peraturanNya, tentulah yang terbaik bagi manusia dibandingkan dengan segala peraturan yang dicipta manusia.


Wahai lelaki, jagalah isterimu kerana dia perhiasan, pakaian dan ladangmu, sebagaimana Rasulullah s.a.w pernah mengajarkan agar kaum lelaki berbuat baik selalu (lembut) terhadap isteri anda sekalian.


Berbahagialah wahai para muslimah. Tunaikan dan menegakkan agamamu, nescaya syurga menanti....